-->

6 Jenis Penemu Duga

6 Jenis Penemu Duga

Oleh: fghaz

Klinik Kerjaya Perintis



Berdasarkan pengalaman kerja saya, saya dapati bahawa penemu duga boleh dipecahkan secara kasar kepada 6 jenis mengikut stail masing-masing. Jika anda cepat membaca peribadi dan stail penemu duga anda dan seterusnya berjaya menjalin persefahaman, anda akan kelihatan lebih yakin dan berpengetahuan ketika ditemu duga.



Berikut adalah 6 jenis penemu duga yang biasa ditemui:





1. Tak fokus



Stail beliau: Seperti tiada di dalam bilik temu duga. Fikiran beliau tidak fokus kepada sesi temu duga itu. Hal ini berlaku mungkin kerana beliau tidak bersedia untuk sesi temu duga itu atau bos beliau telah menyerahkan satu projek besar kepada beliau untuk dikendalikan sejurus sebelum sesi temu duga bermula.



Pendekatan terbaik anda: Untuk meninggalkan impresi atau membuat impak yang kuat terhadap seorang penemu duga yang tidak fokus adalah agak mustahil. Oleh itu, sampaikan semua maklumat penting anda secara ringkas. Tumpukan lebih masa anda untuk tindakan susulan kelak. Jika anda dapati penemu duga anda seperti tidak cukup masa, cadangkan kepada beliau agar sesi temu duga diadakan pada masa yang lain.





2. Macam kawan



Stail beliau: Suka tersenyum, membuat lawak dan menyuruh anda untuk bertenang. Ada dua jenis penemu duga macam kawan yang saya tahu:

i. penemu duga yang ingin disukai

ii. penemu duga yang tahu bahawa jika anda sudah selesa dengan beliau, banyak maklumat yang mungkin anda tidak mahu sebut atau dedahkan akan terbongkar, misalnya tentang jumlah gaji yang dipohon.



Pendekatan terbaik anda: Anda boleh beramah mesra dengan beliau tetapi jaga tatasusila anda. Jangan terlalu berlebih-lebih dalam memberikan maklumat, takut anda menyesal pula kelak.





3. Suka bertanya



Stail beliau: Serius dan tidak pernah tersenyum. Beliau selalunya akan mengajukan soalan yang sukar tentang pengalaman kerja anda. Inilah satu sesi temu duga yang akan menyebabkan anda berkata, “Saya tak suka ditemu duga!”.



Pendekatan terbaik anda: Bertenang, tunjukkan keyakinan dan rasa hormat kepada penemu duga anda. Pada kebiasaannya, penemu duga suka bertanya ini percaya bahawa soalan yang sukar akan mencungkil potensi tersembunyi calon. Penting untuk anda ingat bahawa penemu duga seperti ini selalunya akan menjadi penasihat terbaik anda dalam sesi temu duga. Beliau juga boleh membantu anda mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan dengan memberikan tips yang berguna.





4. Satu topik



Stail beliau: Fokus kepada hanya satu topik, misalnya cara meningkatkan produktiviti.



Pendekatan terbaik anda: Ikut rentak beliau. Puaskan hati beliau dengan menjawab soalan yang ditanya. Ajukan soalan-soalan yang telah anda sediakan sebelum temu duga untuk Jabatan Sumber Manusia kelak.





5. Banyak topik



Stail beliau: Menyentuh banyak topik. Sekejap tentang jualan, selepas itu tentang polisi syarikat, kemudian tentang pengalaman kerja anda pula. Cabarannya ialah kesemua topik ini kadangkala tidak berkaitan dan anda tidak tahu bagaimana penemu duga banyak topik ini menilai kemampuan anda.



Pendekatan terbaik anda: Ikut rentak beliau. Di sinilah persediaan rapi yang anda buat sebelum temu duga akan berbaloi. Hal ini kerana anda boleh mengaitkan kekuatan dan kemahiran yang anda miliki dengan banyak aspek kerja.





6. Menunggu jawapan magik



Stail beliau: Percaya kepada hanya satu soalan magik untuk ditanya dan hanya satu respon magik untuk diterima yang bakal menentukan sama ada anda ialah orang yang terbaik untuk jawatan yang ditawarkan. Penemu duga jenis ini akan menanyakan dahulu beberapa soalan tentang pengalaman kerja dan kemahiran yang anda miliki. Kemudian, beliau akan bertanya pula soalan yang tiada kaitan dengan kerja seperti, “Beritahu saya bagaimana anda mengikat tali kasut.” atau “Jika anda diberi peluang makan malam di hotel lima bintang, siapakah yang akan anda bawa bersama?” Daripada jawapan anda ini, beliau akan memutuskan sama ada anda berjaya mendapat pekerjaan itu ataupun tidak.



Pendekatan terbaik anda: Jawab soalan yang ditanya dan teruskan sahaja sesi temu duga mengikut rentak beliau.





Ubah suai pendekatan anda mengikut jenis penemu duga



Apabila anda berjaya mengenal pasti jenis dan stail penemu duga anda dan mengubah suai pendekatan anda ketika sesi temu duga, anda telah berada pada satu tahap di hadapan pesaing anda. Ketika anda membuat persediaan untuk temu duga, tanya diri anda sendiri, “Bagaimanakah saya boleh mempelbagaikan jawapan saya mengikut stail penemu duga?”



Misalnya, dengan penemu duga satu topik, anda boleh memberikan pilihan kepadanya ketika menjawab soalan beliau dengan bertanya, “Adakah encik mahu saya bercakap tentang aspek kerja yang ini atau yang itu?” Jika anda ditanya tentang kejayaan anda melaksanakan satu tugasan, dengan penemu duga macam kawan, anda fokuskan lebih kepada kemahiran anda dalam kerja berpasukan. Bagi soalan yang sama, dengan penemu duga suka bertanya pula, anda mulakan jawapan dengan menyatakan hasil kerja individu anda.



Dengan memahami stail penemu duga anda, peluang anda untuk didengari oleh mereka adalah lebih cerah!





Hak cipta terpelihara. Koleksi artikel kerjaya penulis boleh diakses di http://www.my-fghaz.blogspot.com

Dapatkan update terkini dari saya terus ke email anda:

0 Response to "6 Jenis Penemu Duga"

Catat Ulasan

Sila komen jangan malu-malu. Saya sedia mendengar