-->

Banyak berzikir perisai elak kena sihir

Banyak berzikir perisai elak kena sihir
Oleh Jami'ah Shukri

Dua malaikat jaga keselamatan individu baca ayat al-Kursi sebelum tidur

PERBUATAN sihir wujud sejak zaman Nabi Musa lagi dan amalan itu berterusan menyelinap dalam masyarakat kini, walaupun dunia berubah ke era sains dan teknologi.

Islam menentang keras perbuatan sihir dan tukang sihir. Rasulullah SAW mentakrif sihir sebagai satu daripada dosa besar yang merosak dan menghancurkan sesuatu bangsa.

Baginda bersabda bermaksud: "Jauhilah tujuh perkara besar yangmerosakkan. Sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah?

Jawab nabi, iaitu menyekutukan Allah; sihir; membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali kerana hak; makan harta riba; makan harta anak yatim, lari daripada peperangan, serta menuduh perempuan baik, terjaga dan beriman." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ahli fikah menganggap sihir itu bererti kufur atau membawa kepada kufur.

Al-Quran juga mengingatkan kita sentiasa memohon perlindungan Allah daripada kejahatan tukang sihir. Firman-Nya bermaksud: "Dan daripada kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan)," (Surah al-Falaq, ayat 4).

Kelazimannya, tukang sihir ketika melakukan sihirnya akan membuat buhul (ikatan) daripada tali lalu membacakan jampi secara menghembus-hembuskan nafasnya ke atas ikatan itu.

Dalam satu hadis, dikatakan: "Barang siapa meniup simpul, makasungguh dia sudah menyihir, dan barang siapa menyihir, maka sungguh dia sudah berbuat syirik." (Hadis riwayat Tabarani dengan dua sanad) Meniup simpul satu daripada cara diamalkan ahli sihir.

Seperti Islam mengharamkan umatnya menggunakan khidmat dukun untuk bertanyakan perkara ghaib, Islam juga mengharamkan perbuatan sihir atau pergi menemui tukang sihir untuk mengubati sesuatu penyakit.

Haramnya sihir di sini, tidak terbatas hanya kepada tukang sihir, malah mempercayai apa dikatakan tukang sihir itu.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa pergi ke tukang ramal, atau ke tukang sihir, atau ke tukang tenung, kemudian dia bertanya dan percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad." (Hadis riwayat Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang baik).

Sabda baginda lagi bermaksud: "Tidak akan masuk syurga peminum arak, dan tidak pula orang yang percaya kepada sihir, dan tidak pula orang yang memutuskan silaturahim." (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata pelbagai sebab seseorang itu mengamal, melakukan dan mengguna pakai sihir untuk tujuan tertentu.

Katanya, al-Quran menyatakan tujuan sihir itu untuk memecah-belah ikatan antara suami isteri, terbit rasa sakit hati atau ingin menjatuhkan seseorang.

Bagi pasangan suami isteri, akibat daripada sihir hubungan mereka boleh menjadi dingin, tanpa nafsu dan timbul perasaan benci.

"Dalam masyarakat sekarang masih wujud amalan sihir itu untuk menjahanamkan orang lain. Ia tidak akan lupus sampai bila-bila selagi ada insan yang sentiasa mempunyai sikap hasad dengki, benci, iri hati dan sebagainya.

"Kita dapati amalan sihir ini, nampaknya semakin kuat dan cenderung dilakukan di kalangan masyarakat Melayu. Bagaimanapun, ada juga masyarakat India dan Cina mengamalkan sihir," katanya.

Bagi umat Islam, mereka sepatutnya lebih berhati-hati kerana sihir ini boleh hinggap dalam diri seseorang sekiranya benteng pada dirinya terlalu rapuh.

Ini bermakna, umat Islam, seharusnya beramal kepada Allah dan sentiasa mengingatinya. Ini disebabkan sihir tidak mengenal sesiapa. Nabi Muhammad SAW juga pernah terkena sihir.

"Sihir ini boleh dihindari dengan memperbanyakkan berzikir dan membaca ayat al-Quran seperti surah an-Nas dan al-Falaq," katanya.

Ayat al-Kursi juga banyak fadilatnya dan memberi manfaat besar sepanjang hari kepada seseorang yang membacanya.

Dari segi kesejahteraan diri, orang yang membaca ayat al-Kursi ketika di pembaringan hendak tidur, Allah akan menghantar dua malaikat untuk memeliharanya daripada segala bahaya sehinggalah tiba waktu Subuh. Bahaya disebutkan termasuk bahaya sihir, pukau, gangguan iblis dan syaitan, binatang yang memberi mudarat, bencana alam dan angkara jahat manusia.

Harussani tidak menafikan ada kaedah perubatan terutama perubatan tradisional menggunakan sihir dalam amalannya.

Bagaimanapun, bagi berkaitan sihir itu, beliau berkata, Allah sudah mengajar kepada dua malaikat mengenai ilmu sihir.

"Ilmu sihir itu diajar semata-mata untuk menolak perbuatan sihir yang dilakukan pengamal lain," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan itu, ada pihak yang menyalahgunakan sihir itu untuk tujuan lain.

"Jika seseorang menggunakan ilmu sihir untuk menolak atau membantu mereka yang terkena sihir ia tidak berdosa dan insya-Allah, Allah akan membantu. Tetapi menyalahgunakan ilmu sihir untuk menjahanamkan orang lain, hukumnya adalah syirik," katanya.

Dapatkan update terkini dari saya terus ke email anda:

0 Response to "Banyak berzikir perisai elak kena sihir"

Catat Ulasan

Sila komen jangan malu-malu. Saya sedia mendengar