-->

KENAPA TIDAK MAHU BERSOLAT TAHAJJUD?

KENAPA TIDAK MAHU BERSOLAT TAHAJJUD?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat
Tahajjud. Ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:

Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat)
pada bulan ALLAH iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling
utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud). - Hadis
riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shiyam, hadis
no: 1163.

Namun begitu hanya segelintir sahaja daripada umat Islam pada masa
kini yang benar-benar memperhatikan ibadah solat Tahajjud ini.
Kebanyakkan umat Islam yang lain lebih memilih untuk lena diulik
mimpi di atas ranjang masing-masing. Melalui risalah ini penulis
ingin menarik perhatian para pembaca tentang tatacara perlaksanaan
solat Tahajjud serta keutamaanya di sisi syarak agar dapat dijadikan
sumber motivasi kepada kita semua terutamanya penulis sendiri untuk
mengerjakan solat Tahajjud.

PENGERTIAN SOLAT TAHAJJUD
-----------------------------

Menurut Dr. Shalih bin Ghanim bin Abdillah al-Sadlani:

Makna solat dari ALLAH adalah Rahmat, sedangkan makna solat dari
seseorang adalah doa dan istighfar. Manakala dalam istilah syar'i
solat bererti, ...rukun-rukun yang dikhususkan dan zikir yang telah
dimaklumi dengan syarat-syarat yang dibatasi dengan waktu-waktu
tertentu, atau perkataan dan perbuatan yang diawali dengan
takbiratul ihram dan ditutup dengan salam disertai dengan niat. –
Rujuk buku Dr. Shalih bin Ghanim bin Abdillah al-Sadlani , Shalat
Jama'ah : Panduan Hukum, Adab, Hikmah, Sunnah dan Peringatan Penting
Tentang Tentang Perlaksanaan Shalat Berjema'ah, Pustaka Arafah,
Solo 2002, ms. 17.

Tahajjud terbentuk dari kata dasar hajjada yang bererti tidur dan
tahajjada bererti berjaga. Maka kata tahajjadtu bermaksud saya telah
membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya.

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani r.h:

Imam al-Thabari berkata: "Tahajjud adalah berjaga setelah tidur
terlebih dahulu."… Ibnu Faris berkata: "Al-Mutahajjid bermaksud
orang yang solat di malam hari." Sedangkan al-Kurra'
menyatakan: "Tahajjud adalah solat malam secara khusus." – Rujuk
kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms.
203.

Oleh itu solat Tahajjud adalah solat sunat yang dikerjakan pada
waktu malam iaitu setelah mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk
waktu solat Subuh. Namun begitu waktu yang paling utama untuk
dilaksanakan solat Tahajjud itu adalah sepertiga malam yang terakhir
(Iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh). Solat sunat
Tahajjud ini kebiasaannya digandingkan dengan solat sunat witir
sebagai penutupnya.

Dalil disyariatkan solat Tahajjud ini adalah sebagaimana Firman
ALLAH S.W.T.:

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta
kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu;
semoga TUHANmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di
tempat yang terpuji. - al-Israa' (17) : 79

Di dalam kitab al-Majaz oleh Abu Ubaidah disebutkan: "Firman-
NYA "kerjakanlah solat Tahajjud padanya" bermaksud berjagalah pada
malam hari untuk melakukan solat." – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu
Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202.

Dalil solat Tahajjud lebih utama dilakukan pada sepertiga malam
terakhir bersandar kepada sabda Rasulullah s.a.w.:

RABB kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia
ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. ALLAH berfirman: "Siapa
yang berdoa kepada-KU, nescaya AKU akan mengabulkannya; siapa yang
meminta kepada-KU, nescaya AKU akan memberinya; siapa yang memohon
ampun kepada-KU, nescaya AKU akan mengampunnya." - Hadis riwayat
Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis
no: 1145.

Ternyata ibadah yang di dalamnya terdapat doa-doa, permintaan-
permintaan dan permohonan ampun adalah solat. Maka selayaknya solat
yang paling utama setelah solat fardhu ini dilaksanakan pada
sepertiga malam yang akhir.

JUMLAH RAKAAT SOLAT TAHAJJUD
----------------------------

Secara umumnya solat Tahajjud ini boleh dilakukan dengan dua rakaat-
dua rakaat dan ianya tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang
maksimum. Malah ianya juga boleh dilaksanakan dengan hanya satu
rakaat solat sunat witir.

Dari `Abdullah bin Umar r.a, dia berkata:

Sesungguhnya seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah, bagaimanakah
solat malam?" Baginda bersabda: "Dua-dua (rakaat), apabila engkau
khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat witir satu
rakaat." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari,
Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1137.

Namun begitu jumlah rakaat yang paling utama adalah dengan tidak
melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat kerana jumlah ini
adalah sesuai dengan sebagaimana yang kebiasaannya dikerjakan oleh
Rasulullah s.a.w..

Dari `Aishah r.a, dia berkata:

Bahawa Rasulullah solat malam di waktu setelah selesai Isyak sampai
terbit fajar sebanyak sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua
rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat. - Hadis riwayat Imam
Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab Shalatu al-Musafirni wa
Qasruha, hadis no: 736.

Dari `Aishah r.a, dia berkata:

Nabi s.a.w. biasa solat di malam hari tiga belas rakaat termasuk
witir, dan dua rakaat solat fajar (sunat Qabliyah Subuh). - Hadis
riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-
Tahajjud, hadis no: 1140.

Abu Salamah r.a pernah bertanya kepada `Aishah r.a tentang solat
malam Rasulullah s.a.w. di bulan Ramadan. Maka `Aishah menjawab:

Rasulullah s.a.w. tidak menambah di bulan Ramadan dan tidak pula di
bulan-bulan lainnya, melebihi sebelas rakaat; baginda solat empat
rakaat, jangan tanya akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda
solat empat rakaat, jangan tanya akan kebagusan dan panjangnya.
Kemudian baginda shalat tiga rakaat (witir). - Hadis riwayat Imam al-
Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no:
1147.

Hadis di atas ini menunjukkan bahawa solat Tahajjud ini juga boleh
dikerjakan secara empat rakaat-empat rakaat. Ianya boleh dikerjakan
sebagaimana tatacara solat fardhu yang empat rakaat iaitu dengan dua
tahiyat serta satu salam dan boleh juga dikerjakan sebanyak empat
rakaat sekaligus dengan hanya satu tahiyat serta satu salam sahaja.
Sekiranya ingin dilaksanakan dengan hanya satu tahiyat maka setiap
rakaat hendaklah dibaca surah-surah atau ayat-ayat dari al-Qur'an
sesudah membaca al-Fatihah.

Bersambung Insya-ALLAH.....

technorati tags:

Dapatkan update terkini dari saya terus ke email anda:

0 Response to "KENAPA TIDAK MAHU BERSOLAT TAHAJJUD?"

Catat Komen

Sila komen jangan malu-malu. Saya sedia mendengar