-->

Tunjuk gari berlagak polis

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
[email protected]

MUAR: Perbuatan seorang lelaki menyamar polis untuk memeras ugut sekumpulan pekerja binaan warga Indonesia membawa padah apabila dia dibelasah sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.


Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan ke rumah kongsi pekerja binaan di tapak projek perumahan di Jalan Saleh, di sini secara bersendirian.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, lelaki yang menunggang motosikal itu dikatakan cuba memeras ugut pekerja asing terbabit supaya menyerahkan wang tunai.

Bagi menakutkan pekerja asing terbabit, lelaki yang dipercayai berasal dari Sungai Rambai, Melaka itu mengeluarkan sepasang gari dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis.

Lelaki itu meminta semua pekerja asing itu menyerahkan wang dan mengugut menahan mereka sekiranya tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun, pekerja asing itu tidak dapat memenuhi permintaan lelaki terbabit kerana mendakwa mereka tidak mempunyai wang tunai.

Disebabkan gagal mendapatkan wang tunai lelaki terbabit kemudian meminta kumpulan pekerja asing itu menyerahkan telefon bimbit masing-masing.

Tindakan lelaki itu menyebabkan kumpulan pekerja Indonesia itu mula mengesyaki dan curiga dengan kesahihan dakwaan lelaki itu sebagai anggota polis.

Berikutan itu, seorang daripada warga Indonesia itu mempersoalkan tindakan lelaki itu dengan berkata polis tidak sepatutnya meminta orang awam menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit.

Melihatkan keadaan lelaki itu yang mula serba salah selepas tindakannya dipersoalkan, kumpulan warga asing itu mula mengepung lelaki berkenaan sebelum memukulnya.

Akibat kejadian itu, lelaki terbabit cedera di kepala dan muka selepas dibelasah kumpulan pekerja asing itu sebelum menghubungi polis.

Sebuah kereta peronda yang tiba di tempat kejadian membawa lelaki berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Muar.

Jurucakap polis berkata, lelaki terbabit kini ditahan selama 14 hari selepas mendapat kebenaran reman dari Mahkamah Majistret Muar untuk siasatan lanjut.

p/s padan muka

Dapatkan update terkini dari saya terus ke email anda:

0 Response to "Tunjuk gari berlagak polis"

Catat Komen

Sila komen jangan malu-malu. Saya sedia mendengar